I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, July 25, 2010

TEGURAN NABAWI

Dalam kehidupan ini, manusia tidak dapat lari daripada dua keadaan - ditegur atau menegur. Semua orang dapat menerima kenyataan bahawa terkadang dia perlu ditegur kerana melakukan kesilapan dan terkadang dia juga perlu menegur untuk membetulkan kesilapan pihak lain.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, melalui Abu Hurairah, seorang lelaki yang tidak pandai menunaikan solat telah masuk ke dalam masjid lalu menunaikan solat. Ketika itu Rasul Allah s.a.w sedang duduk dan baginda memerhatikan gelagat lelaki tersebut.

Setelah selesai menunaikan solat, lelaki itu datang kepada Rasul Allah s.a.w lalu memberi salam. Baginda menjawab salam itu lalu berkata : "Pergi kembali dan menunaikan semula solatmu, sesungguhnya kamu belum solat."

Maka lelaki yang jujur itu telah pergi menunaikan kembali solatnya dan setelah selesai beliau kembali bertemu Rasul Allah s.a.w. Malangnya sekali lagi Nabi s.a.w mengulangi kata-kata tadi dan mengarahkannya untuk kembali menunaikan solat.

Namun setelah 3 kali beliau mengulangi solatnya itu, Rasul Allah s.a.w tetap menyatakan perkara yang sama. Kali ini lelaki yang sudah kepenatan itu berkata : "Demi Tuhan yang telah mengutuskan engkau, aku tidak tahu untuk solat selain cara ini, ajarkanlah aku."

Maka Rasul Allah s.a.w menceritakan dari awal dan mengajar lelaki itu cara untuk menunaikan solat dengan betul dan menepati syarat serta rukun-rukunnya.

Daripada kisah di atas dapatlah disimpulkan bahawa :

1) Teguran perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan terutama jika ia melibatkan perkara yang penting dalam kehidupan.

2) Teguran adalah penting, tetapi apa yang lebih penting ialah cara membuat teguran.

3) Tidak mungkin kita boleh melakukan satu sahaja bentuk teguran untuk keadaan dan orang yang berbeza. Cara teguran itu mesti ditentukan dengan ilmu dan kebijaksanaan.

4) Teguran mestilah mempunyai matlamat untuk memberikan pengetahuan dan membantu, bukan menghina atau menjatuhkan semangat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails