Maka semakin lama kita sujud bererti semakin banyak bekalan darah dapat disalurkan ke dalam urat saraf itu. Ini sekali gus memberikan kesegaran minda dan membentuk pemikiran positif terhadap pelakunya.
Hasil penemuan itulah yang memberikan hidayah kepada Fidelma untuk mengambil keputusan memeluk Islam.
Sujud juga diakui oleh beberapa pakar kesihatan Barat lain sebagai satu gerakan yang mampu menjana kesihatan. Misalnya, Peter Russell menyatakan; “Otak manusia beroperasi tujuh peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat dalam keadaan kepala mereka di bawah.” Ini bermakna ketika seseorang melakukan sujud dalam solat, memudahkan aliran darah disalurkan ke otak dengan lebih berkesan.
Manakala seorang lagi pakar Barat, Win Wenger mengatakan, gerak kerja membalikkan badan dari atas ke bawah akan meningkatkan kadar oksigen ke otak dan ini meningkatkan kemampuan otak. Itu baru dilihat pada bahagian sujud saja. Sebenarnya keseluruhan pergerakan dalam solat terkandung hikmah penambahbaikan daripada sudut sains. Sekarang kita tinjau pula perintah menunaikan solat Subuh. Inilah antara solat yang begitu sukar bagi sesetengah orang sehingga sering diabaikan. Selagi matahari tidak meninggi mata terasa berat untuk dibuka. Begitulah sayangnya kita kepada bantal dan selimut. Azan penanda masuknya waktu Subuh sudah dikumandangkan, namun telinga buat pekak saja. Beratnya kaki melangkah ke bilik air untuk mengambil wuduk kerana takut sangat dengan kesejukan air.
Mengapa jadi begitu? Solat Subuh hanya dua rakaat pun menjadi berat untuk dilaksanakan. Tidak sampai lima minit sudah boleh menyelesaikan ibadat itu. Tetapi mengapa pula malas membangunkan diri melaksanakannya? Rasulullah bersabda; “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah dengan sesuatu (selain daripada solat ), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim). Apa jaminan Allah kepada kita? Tentu sekali kita akan mendapat ganjaran pahala, ketahuilah bahawa orang-orang yang menunaikan solat Subuh dijamin akan diberikan ganjaran pahala yang melebihi keindahan dunia.
Imam At-Tirmidzi melaporkan: dari Aisyah telah bersabda Raslullah: “Dua rakaat solat fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.” Hebat dan tingginya martabat solat Subuh ini di sisi Allah. Itu dari sudut ganjaran pahala. Bagaimana pula dengan aspek sains? Dalam suasana hening dingin, cuaca belum dikotori debu dan habuk tentu memberikan impak positif kepada kita untuk menghirup udara yang segar bersih sekali gus mencergas dan mencerdas anggota badan. Membina anggota badan yang cergas dan menjana otak positif dapat direalisasikan dengan amalan solat Subuh. Jadi, amatlah rugi sesiapa yang meremehkannya. Sebenarnya banyak lagi penemuan daripada sudut ilmu sains tentang solat yang semuanya memperakui bahawa solat itu sihat dan kesihatan boleh dijana dengan solat.
No comments:
Post a Comment